
Air liur memastikan dalaman mulut kita lembap dan membantu melembutkan makanan semasa kita mengunyah. Tanpa air liur di dalam mulut, kita akan sukar untuk bercakap. Malahan, ia akan menjadi lebih sukar untuk kita menelan makanan. Untuk sesetengah haiwan, air liur itu penting untuk terus hidup.
Sebagai contoh, Llamas. Haiwan ini amat tidak suka apabila kawasannya diganggu. Apabila berasa terganggu atau terancam, ia akan meludah gumpulan berlendir kepada sasarannya agar tidak terus diganggu.
Kadang-kadang Llamas akan meludah kepada sesama sendiri untuk mencuri makanan. Taktik ini biasanya berkesan kerana benda yang diludah haiwan ini adalah terrmasuk makanan di dalam perut mereka dan baunya memang busuk. Apabila Ilama meludah pada haiwan lain, kebiasaanya haiwan yang diludah akan hilang selera makan dan pergi meninggalkan makanan mereka.
Ikan pemanah (archer fish) juga merupakan pakar meludah. Ikan ini adalah umpama kapal selam dengan senjata tersimpan. Ia menyasar dan meludah pancuran air kepada serangga dan haiwan kecil lain untuk menjatuhkan mereka ke dalam air. Kemudian, ia akan menelan mereka dengan cepat. Untuk menghasilkan pancuran air yang kuat, ikan pemanah akan menutup insangnya, dan menggunakan lidahnya untuk membentuk tiub di dalam mulut. Kemudian ia akan mengeluarkan muncungnya keluar dari air dan menyasar. Sasar ! Tembak ! Makan !

Terdapat juga sejenis ular tedung (spitting cobra) yang dapat menyembur/meludah bisa beracun dari taring mereka untuk tujuan pelindungan. Ahli sains ini percaya bahawa ular ini kebiasaanya menyasarkan mata. Apabila bisa ular ini masuk ke mata sasarannya, ia dapat mengakibatkan kesakitan yang amat, malah buta. Tindakan ini memberikan masa yang cukup untuk ular itu beredar.
Meludah dianggap perbuatan tidak sopan di kalangan manusia. Bagaimanapun untuk sesetengah haiwan, meludah adalah cara mudah untuk mendapatkan makanan - ataupun cara bijak untuk mengelak dari dimakan.


Tidak ada komentar:
Posting Komentar